Logo Halal Menjadi Keutamaan Rakyat Malaysia
Kita mungkin tertanya-tanya mengapa logo halal yang dikeluarkan di negara ini digandingkan dengan perkataan Malaysia, iaitu Halal Malaysia. Pada perspektif syarak, perkataan halal sudah cukup sebagai penunjuk aras bahawa sesuatu barangan itu dibenarkan atau harus digunakan sama ada dari segi hukum, keselamatan dan mutu. Sudah memadai dengan satu perkataan halal yang boleh berdiri sendiri.
Masyarakat Melayu telah menjadikan penandaan halal itu penting dalam dunia perniagaan dan tertanam kukuh dalam kebudayaan masyarakat Melayu Islam yang amat sensitif terutamanya bagi sumber makanan dan produk barangan gunaan harian. Inilah suatu keunikan di Malaysia.
Rata-rata kesemua peniaga termasuk masyarakat melayu, cina dan india mulai sedar akan kepentingan pengesahan halal terhadap setiap produk yang diniagakan. Mereka menjadikan logo halal sebagai alat pemasaran untuk memenangi hati pengguna. Hal ini demikian kerana, Sistem Pensijilan Halal Malaysia memudahkan masyarakat Malaysia membuat pilihan barangan tanpa ragu di pasaran.
Perubahan ini telah memecah tembok sempadan perbezaan agama dan merentasi sempadan perbezaan budaya yang mana selama ini kita salah anggap bahawa piawaian halal hanyalah untuk penganut Islam sahaja.
Golongan pengeluar telah meletakkan nilai label halal pada barangan mereka lebih mahal dan bernilai berbanding produk yang dikeluarkan. Kadangkala tanpa label halal rasmi yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Jabatan/Majlis Agama Islam, produk sukar untuk dipasarkan dan mudah untuk dipertikaikan oleh pengguna.
Kini, logo halal telah menjadi nilai komersial yang begitu penting dan tinggi mengatasi sempadan bangsa, agama dan antarabangsa.
Namun begitu, kebimbangan terhadap kebolehdapatan produk halal kini semakin meningkat. Hal ini demikian kerana, terdapat segelintir pengusaha tempatan terutamanya bukan Islam, sewenang-wenangnya melabelkan produk mereka dengan jenama yang membawa simbol Islam melalui pembungkusan dan pelabelan.
Demi tujuan perniagaan, ada kalanya pihak pengeluar cuba mengeksploitasi para pengguna dan pembeli dengan memakai logo halal pada semua barangan tidak kira apa jenis produk yang dipasarkan.
Sebenarnya, di antara kepentingan peniaga dan jaminan kepada pengguna, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam negeri mengawalnya berdasarkan tuntutan syarak. Maka, tidak semua permintaan pengusaha yang memohon penggunaan logo dan sijil halal dapat dipenuhi.
Produk asli yang tidak melalui proses produksi seperti rempah-ratus, air mutlak, buah-buahan dan ikan adalah tidak perlu kepada pensijilan halal. Ringkasnya, kesemua bahan asli yang tidak melalui proses pengubahsuaian, penambahan dan pemeraman adalah bahan yang tidak tersenarai bagi permohonan halal.
Oleh itu, Jakim sebagai badan penyelaras pensijilan halal Malaysia telah memperkenalkan logo halal baru yang standard di seluruh negara. Logo standard ini menjawab terhadap segala persoalan dan kekeliruan yang seringkali timbul oleh orang ramai, memandangkan setiap jabatan agama Islam negeri-negeri mengeluarkan logo halal masing-masing yang mempunyai identiti tersendiri.
Tujuan utama pengenalan logo ini ialah untuk penyelarasan, di samping strategi untuk menghapuskan penggunaan logo halal palsu seperti BAHIES dan sebarang pelabelan halal yang tidak disahkan oleh mana-mana pihak berautoriti Islam negara ini.
Sebagai panduan kepada pengguna, logo baru yang keluarkan secara rasmi kepada premis pemohon ialah berwarna hitam pekat. Bagi memudahkan pihak pengeluar, mereka dibenarkan menggunakan warna-warna yang lain mengikut produk dihasilkan asalkan tidak sedikit pun merubah spesifikasi logo asal.
Dengan memperkenalkan logo baru ini pada tahun 2003, maka secara langsung logo-logo lama yang masih beredar di pasaran seperti yang tercatat perkataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan/Majlis Agama Islam negeri dijangka akan dapat dihapuskan sehingga di penghujung tahun 2004 ini.
Di Malaysia, sungguhpun logo halal nampak begitu gah dan berpengaruh di kalangan pengguna dan pengusaha, tetapi pemakaiannya adalah tidak diwajibkan dari segi undang-undang. Kekuatannya ialah sebagai simbol jaminan kualiti berasaskan syarak yang menekankan aspek mutu produk, kesucian dan keselamatan. Ia merupakan suatu pilihan kepada pengeluar memohon untuk menggunakannya dan ia dikeluarkan secara pentadbiran oleh pihak Jakim/Jabatan Agama Islam negeri.
Melalui elemen halal, kerajaan berjaya membuka peluang persaingan perniagaan antara pengeluar supaya barangan menjadi lebih berkualiti tinggi dan meyakinkan. Iklim perdagangan yang sihat ini telah berjaya dirintis di pasaran tempatan dan mula giat melebar di persada perdagangan antarabangsa.
